Saturday 9 May 2009

Posting 2 - Sambungan

PROFIL SUKU KAUM ORANG ASLI

Khairul Hisyam, KAMARUDIN
Kemas kini: 09 Mei 2009 (Oxon)

Orang Asli adalah penduduk terawal tinggal di Semenanjung Malaysia sejak kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Asal usul mereka dikatakan dari Negeri China dan Tibet yang menyusul laluan penghijrahan melalui tanah besar Asia Tenggara sebelum bertapak di Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Indonesia.

Kini, Orang Asli merupakan kelompok minoriti masyarakat peribumi di Semenanjung Malaysia (Nicholas, 2000; Sunaidin, 1997). Mereka dianggap minoriti kerana dengan penduduk seramai 132,000 orang pada tahun 2000, mereka hanya membentuk 0.5% dari jumlah keseluruhan penduduk negara (JHEOA, 2003). Walaupun dikelompokkan di bawah satu kaum yang sama serta mengamalkan kegiatan sosio-ekonomi yang hampir sama, Orang Asli bukanlah kelompok manusia homogemous. Ini kerana masyarakat Orang Asli telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan sukubangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000; Noraini Ali, 1999; Sunaidin 1997).

Jadual 1 menunjukkan tren taburan penduduk Orang Asli mengikut negeri dalam tempoh 1957-1998. Tumpuan utama petempatan Orang Asli ialah di negeri Pahang dan Perak yang mencatatkan lebih daripada dua pertiga daripada jumlah keseluruhan penduduk. Pulau Pinang, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah tidak mempunyai penduduk Orang Asli bagi tahun 1998.

Rajah 1: Taburan penduduk Orang Asli Semenanjung Malaysia (1991)
Sumber: JHEOA, 2003

Pola taburan penduduk Orang Asli dalam Rajah 1, tertumpu di kawasan-kawasan sepanjang banjaran Titiwangsa yang mengunjur dari negeri Perak-Kelantan, kemudiannya merentasi negeri-negeri Pantai Barat termasuk Selangor dan Negeri Sembilan, bahagian Barat negeri Pahang sehingga ke bahagian utara negeri Johor.

JHEOA telah membahagikan perkampungan Orang Asli kepada tiga kategori seperti dalam Jadual 2. Sebahagian besar daripada perkampungan Orang Asli berada di kategori pinggir yang mempunyai kemudahan asas dan boleh dihubungi dengan jalan berturap. Kira-kira 42 peratus perkampungan Orang Asli berada dalam kategori pendalaman dan belum mempunyai kemudahan asas yang sempurna serta sukar dihubungi. Hanya enam perkampungan berada dalam kategori bandar.

Daripada Jadual 3, didapati Senoi adalah kumpulan etnik Orang Asli yang terbesar berjumlah 62,313 orang, diikuti 50,223 orang suku kaum Melayu-Proto dan hanya 3,583 orang Negrito. Bagi taburan kumpulan etnik mengikut negeri, Perak menunjukkan bilangan tertinggi bagi kumpulan etnik Senoi iaitu 34,801 orang (55.8 peratus), diikuti Pahang 18,381 orang (29.5 peratus) dan Kelantan 5,383 orang (8.6 peratus). Bagi kumpulan etnik Melayu-Proto, negeri Pahang mencatatkan taburan tertinggi iaitu 23,043 orang (45.9 peratus), diikuti Johor 9,941 orang (19.8 peratus) dan Selangor 8,295 orang (16.5 peratus). Bagi kumpulan etnik Negrito pula, negeri Kelantan mencatatkan taburan tertinggi iaitu dengan 1,408 orang (39.3 peratus), diikuti Perak 1,264 orang (35.3 peratus) dan Pahang 633 orang (17.62 peratus).

Rajah 2: Taburan penduduk Orang Asli mengikut suku kaum (1990)
Sumber : JHEOA, 1990

Rajah 2 menunjukkan taburan kawasan petempatan tiga suku kaum Orang Asli yang terbahagi kepada tiga zon iaitu zon utara, yang majoriti dikuasai suku kaum Negrito, zon tengah oleh suku kaum Senoi dan zon selatan yang dikuasai suku kaum Melayu-Proto.

NEGRITO

Orang-orang Negrito hanya 3 peratus daripada keseluruhan sukubangsa Orang Asli dan merupakan sukubangsa terkecil (JHEOA, 2003). Mereka dipercayai kelompok manusia terawal atau tertua mendiami Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 25,000 tahun lampau (Carey, 1976). Secara fizikalnya, Orang Negrito (‘little Negroes’ seperti diistilahkan oleh Carey, 1976) berbadan rendah (1.5 meter atau kurang), berkulit gelap (gelap tembaga hingga hitam), berambut berkerinting keras, berhidung besar, mata bulat dan berpipi rendah. Berpandukan penemuan arkeologi terbaru, sukubangsa Negrito didapati mempunyai hubung kait rapat dengan orang Hoabin, yang hidup di zaman 8000 sebelum Masihi (Bellwood, 1997). Andaian ini disokong oleh Nicholas (2000) berdasarkan cara hidup Orang Negrito yang sebahagian besar masih menjadi peneroka hutan secara nomad, tinggal di satu-satu lokasi selama mana sumber semulajadi yang diperoleh dari hutan mampu menampung keperluan kelompok mereka.

Majoriti taburan suku kaum ini dikesan terdapat di bahagian utara Semenanjung, khususnya di Perak dan Kelantan dan sebahagian kecil lagi di Kedah dan Pahang (Sunaidin, 1997) (rujuk Jadual 4).


SENOI

Orang Senoi merupakan kumpulan masyarakat Orang Asli yang terbesar merangkumi 54 peratus jumlah penduduk Orang Asli Semenanjung Malaysia (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Mereka dipercayai berasal daripada keturunan bangsa Monggol yang berasal dari utara dan datang ke Tanah Semenanjung sekitar tahun 2000 sebelum Masihi (Nicholas, 2000). Secara fizikalnya, orang-orang Senoi mempunyai sedikit pebezaan dengan orang Negrito iaitu berbadan agak tinggi, berkulit lebih cerah dengan rambut beralun dan tidak kerinting.

Sebahagian besar mereka terdapat di bahagian utara dan tengah Semenanjung Malaysia khususnya di negeri Perak, Pahang dan Kelantan. Malah terdapat sebahagian kecil orang Senoi turut di kesan di negeri Selangor dan Terengganu (rujuk Jadual 5).

Mereka pada suatu ketika merupakan kelompok yang mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan bergantung sepenuhnya kepada hutan sebagai sumber kehidupan, tetapi telah mula beralih kepada aktiviti pertanian tetap (kecuali puak Mah Meri yang masih mengamalkan pertanian pindah) seperti menguruskan dusun sendiri, tanaman koko, getah dan kelapa sawit dan sektor upah sebagai pekerja berkemahiran atau buruh.

MELAYU-PROTO

Orang Melayu-Proto merupakan suku kaum kedua terbesar iaitu merangkumi 43 peratus dari jumlah penduduk Orang Asli di Semenanjung (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Kebanyakan masyarakat Melayu-Proto tertumpu di negeri-negeri selatan dan tengah Semenanjung (rujuk Jadual 6). Menurut Nicholas (2000), sejarah penghijrahan orang Melayu-Proto ke negeri-negeri di selatan (Johor dan Negeri Sembilan) tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana tidak mempunyai rekod atau sumber. Namun, dipercayai mereka adalah sebahagian kumpulan Orang Kuala yang berhijrah dari Sumatera kira-kira 500 tahun yang lampau.

Kajian oleh Mustaffa Omar (2004) dan Nicholas (2000) mendapati orang Melayu-Proto merupakan kelompok masyarakat yang paling tersusun, kebanyakannya terletak di kawasan pertanian tetap atau selat dan juga di pinggir laut bagi sumber perikanan. Orang Melayu-Proto juga mencatatkan peratusan yang lebih tinggi berbanding kaum Negrito dan Senoi dalam bidang professional dan keusahawanan. Ini disebabkan oleh kedudukan perkampungan mereka yang lebih hampir dan terdedah kepada masyarakat lain di luar bandar menyebabkan mereka lebih banyak menerima pengaruh pembangunan dan kemajuan.

Rujukan:


4 comments:

  1. bagi pendapat saya... orang asli terawal berasal dari afrika bukannya negeri cina. mereka adalah manusia yang terawal... setelah makhluk berbentuk beruk apes pupus (cro magnon etc.) mereka berhijrah keserata dunia akibat bencana alam kemarau yang panjang. semua haiwan berhijrah tertumpu yang sekarang ini dipanggil mongolia(dataran steppe). mereka berjalan kaki dari afrika ke india (orang dravidia) berkulit hitam, ke malaysia, indonesia ( papua new guinea) kepulauan solomon, kepulauan flores hingga ke australia ( orang asli australia). dari mongolia satu suku bangsa monngolia telah berhijrah dari yunnan cina datang ke vietnam, thailand, kemboja, korea, tibet,jepun, red indian amerika. di indonesia asimilasi berlaku antara keturunan negroid dan mongolia berlaku mewujudkan bangsa melayu. tagalog, polinesia (hawaii) dll. bangsa yang tidak mengalami asimilasi kahwin campur adalah bangsa dayak(borneo) mereka masih mewarisi sifat bangsa monggol spt orang gurkha, orang kadazan dusun, iban yang berani seperti genghis khan. orang kulit putih berasal dari rumpun aryan. terutama dari iran, itali, grece. mereka belajar ilmu mistik dari para dewa iaitu ilmu geametri, astrologi, ramal nasib dll. orang cina tidak mahu menketogorikan dirinya sebagai bangsa monggol dan mengelarkan diri mereka bangsa han, dan memandang rendah kepada bangsa monggol mereka anggap bangsa kurang bertamadun.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas info tambahan. Cuma, bolehkah diberikan sumber rujukan ilmiah (buku, jurnal, etc) yang boleh saya aksess.

    Dengan itu saya dapat menambah/update ilmu yang ada dengan sumber rujukan ilmiah yang tepat.

    Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
  3. baca:
    http://www.nytimes.com/2005/05/13/science/13migrate.html

    ReplyDelete
  4. Salam Dr, Boleh saya lakukan belian naskah buku Dr 'Pembangunan Mapan Orang Asli' terus melalui Dr. Memandangkan berlaku masalah pada Books online. Terima kasih - shuhada usm, sitishumy@gmail.com... 013-8074198

    ReplyDelete