Saturday 1 January 2011

RM68J urus pelajar Orang Asli - JHEOA

01/01/2011 3:14pm

GUA MUSANG 1 Jan — Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) telah memperuntukkan sebanyak RM68 juta dalam tempoh enam tahun lalu khusus bagi belanja mengurus pelajar daripada kalangan Orang Asli di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan JHEOA, Nisra Nisran Asra Ramlan berkata, tahun lepas sahaja sejumlah RM12.2 juta telah dibelanjakan termasuk tambang pengangkutan, yuran sekolah, keperluan alat tulis, keperluan diri di asrama dan makanan.

"Sehingga kini seramai 25,000 pelajar anak Orang Asli belajar di sekolah rendah dan 9,500 belajar di sekolah menengah seluruh negara dengan (kerajaan) menyediakan pelbagai bantuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Program Orientasi Pelajar Orang Asli di Dewan Jubli Perak, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, hari ini.

Tambah Nisra Nisran, hasil daripada perbelanjaan yang besar itu setiap tahun ,jabatan itu melihat semakin ramai pelajar golongan itu yang berjaya dan menunjukkan prestasi membanggakan hingga ada melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi. — Bernama

Monday 10 August 2009

Catatan perjalanan: Jeli 2007

Sambil-sambil mengeledah nota penyelidikan yang lama-lama pada hard-drive tadi, terpandang satu folder foto-foto rakaman perjalanan ke perkampungan Orang Asli Sungai Rual di Jajahan Jeli pada Jun 2006 yang sudah.

Asyik pula meneliti setiap foto tersebut, terkenang saya pada perjalanan yang lampau. Biarpun kini jauh berada di Oxford, kesejukan di hutan dan bunyi air terjun masih lekat di ingatan saya.

Semoga adik-adik bertekun belajar, gapailah kecemerlangan dan kejayaan. Kerana hanya dengan ilmu sahajalah adik dapat membawa diri dan keluarga keluar dari belenggu kemiskinan dan kesusahan hidup.

























Wassalam.

Saturday 9 May 2009

Posting 2 - Sambungan

PROFIL SUKU KAUM ORANG ASLI

Khairul Hisyam, KAMARUDIN
Kemas kini: 09 Mei 2009 (Oxon)

Orang Asli adalah penduduk terawal tinggal di Semenanjung Malaysia sejak kira-kira 5,000 tahun yang lalu. Asal usul mereka dikatakan dari Negeri China dan Tibet yang menyusul laluan penghijrahan melalui tanah besar Asia Tenggara sebelum bertapak di Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Indonesia.

Kini, Orang Asli merupakan kelompok minoriti masyarakat peribumi di Semenanjung Malaysia (Nicholas, 2000; Sunaidin, 1997). Mereka dianggap minoriti kerana dengan penduduk seramai 132,000 orang pada tahun 2000, mereka hanya membentuk 0.5% dari jumlah keseluruhan penduduk negara (JHEOA, 2003). Walaupun dikelompokkan di bawah satu kaum yang sama serta mengamalkan kegiatan sosio-ekonomi yang hampir sama, Orang Asli bukanlah kelompok manusia homogemous. Ini kerana masyarakat Orang Asli telah dibahagikan kepada tiga (3) kumpulan sukubangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000; Noraini Ali, 1999; Sunaidin 1997).

Jadual 1 menunjukkan tren taburan penduduk Orang Asli mengikut negeri dalam tempoh 1957-1998. Tumpuan utama petempatan Orang Asli ialah di negeri Pahang dan Perak yang mencatatkan lebih daripada dua pertiga daripada jumlah keseluruhan penduduk. Pulau Pinang, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah tidak mempunyai penduduk Orang Asli bagi tahun 1998.

Rajah 1: Taburan penduduk Orang Asli Semenanjung Malaysia (1991)
Sumber: JHEOA, 2003

Pola taburan penduduk Orang Asli dalam Rajah 1, tertumpu di kawasan-kawasan sepanjang banjaran Titiwangsa yang mengunjur dari negeri Perak-Kelantan, kemudiannya merentasi negeri-negeri Pantai Barat termasuk Selangor dan Negeri Sembilan, bahagian Barat negeri Pahang sehingga ke bahagian utara negeri Johor.

JHEOA telah membahagikan perkampungan Orang Asli kepada tiga kategori seperti dalam Jadual 2. Sebahagian besar daripada perkampungan Orang Asli berada di kategori pinggir yang mempunyai kemudahan asas dan boleh dihubungi dengan jalan berturap. Kira-kira 42 peratus perkampungan Orang Asli berada dalam kategori pendalaman dan belum mempunyai kemudahan asas yang sempurna serta sukar dihubungi. Hanya enam perkampungan berada dalam kategori bandar.

Daripada Jadual 3, didapati Senoi adalah kumpulan etnik Orang Asli yang terbesar berjumlah 62,313 orang, diikuti 50,223 orang suku kaum Melayu-Proto dan hanya 3,583 orang Negrito. Bagi taburan kumpulan etnik mengikut negeri, Perak menunjukkan bilangan tertinggi bagi kumpulan etnik Senoi iaitu 34,801 orang (55.8 peratus), diikuti Pahang 18,381 orang (29.5 peratus) dan Kelantan 5,383 orang (8.6 peratus). Bagi kumpulan etnik Melayu-Proto, negeri Pahang mencatatkan taburan tertinggi iaitu 23,043 orang (45.9 peratus), diikuti Johor 9,941 orang (19.8 peratus) dan Selangor 8,295 orang (16.5 peratus). Bagi kumpulan etnik Negrito pula, negeri Kelantan mencatatkan taburan tertinggi iaitu dengan 1,408 orang (39.3 peratus), diikuti Perak 1,264 orang (35.3 peratus) dan Pahang 633 orang (17.62 peratus).

Rajah 2: Taburan penduduk Orang Asli mengikut suku kaum (1990)
Sumber : JHEOA, 1990

Rajah 2 menunjukkan taburan kawasan petempatan tiga suku kaum Orang Asli yang terbahagi kepada tiga zon iaitu zon utara, yang majoriti dikuasai suku kaum Negrito, zon tengah oleh suku kaum Senoi dan zon selatan yang dikuasai suku kaum Melayu-Proto.

NEGRITO

Orang-orang Negrito hanya 3 peratus daripada keseluruhan sukubangsa Orang Asli dan merupakan sukubangsa terkecil (JHEOA, 2003). Mereka dipercayai kelompok manusia terawal atau tertua mendiami Semenanjung Malaysia iaitu kira-kira 25,000 tahun lampau (Carey, 1976). Secara fizikalnya, Orang Negrito (‘little Negroes’ seperti diistilahkan oleh Carey, 1976) berbadan rendah (1.5 meter atau kurang), berkulit gelap (gelap tembaga hingga hitam), berambut berkerinting keras, berhidung besar, mata bulat dan berpipi rendah. Berpandukan penemuan arkeologi terbaru, sukubangsa Negrito didapati mempunyai hubung kait rapat dengan orang Hoabin, yang hidup di zaman 8000 sebelum Masihi (Bellwood, 1997). Andaian ini disokong oleh Nicholas (2000) berdasarkan cara hidup Orang Negrito yang sebahagian besar masih menjadi peneroka hutan secara nomad, tinggal di satu-satu lokasi selama mana sumber semulajadi yang diperoleh dari hutan mampu menampung keperluan kelompok mereka.

Majoriti taburan suku kaum ini dikesan terdapat di bahagian utara Semenanjung, khususnya di Perak dan Kelantan dan sebahagian kecil lagi di Kedah dan Pahang (Sunaidin, 1997) (rujuk Jadual 4).


SENOI

Orang Senoi merupakan kumpulan masyarakat Orang Asli yang terbesar merangkumi 54 peratus jumlah penduduk Orang Asli Semenanjung Malaysia (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Mereka dipercayai berasal daripada keturunan bangsa Monggol yang berasal dari utara dan datang ke Tanah Semenanjung sekitar tahun 2000 sebelum Masihi (Nicholas, 2000). Secara fizikalnya, orang-orang Senoi mempunyai sedikit pebezaan dengan orang Negrito iaitu berbadan agak tinggi, berkulit lebih cerah dengan rambut beralun dan tidak kerinting.

Sebahagian besar mereka terdapat di bahagian utara dan tengah Semenanjung Malaysia khususnya di negeri Perak, Pahang dan Kelantan. Malah terdapat sebahagian kecil orang Senoi turut di kesan di negeri Selangor dan Terengganu (rujuk Jadual 5).

Mereka pada suatu ketika merupakan kelompok yang mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan bergantung sepenuhnya kepada hutan sebagai sumber kehidupan, tetapi telah mula beralih kepada aktiviti pertanian tetap (kecuali puak Mah Meri yang masih mengamalkan pertanian pindah) seperti menguruskan dusun sendiri, tanaman koko, getah dan kelapa sawit dan sektor upah sebagai pekerja berkemahiran atau buruh.

MELAYU-PROTO

Orang Melayu-Proto merupakan suku kaum kedua terbesar iaitu merangkumi 43 peratus dari jumlah penduduk Orang Asli di Semenanjung (JHEOA, 2003; Nicholas, 2000). Kebanyakan masyarakat Melayu-Proto tertumpu di negeri-negeri selatan dan tengah Semenanjung (rujuk Jadual 6). Menurut Nicholas (2000), sejarah penghijrahan orang Melayu-Proto ke negeri-negeri di selatan (Johor dan Negeri Sembilan) tidak dapat dipastikan dengan tepat kerana tidak mempunyai rekod atau sumber. Namun, dipercayai mereka adalah sebahagian kumpulan Orang Kuala yang berhijrah dari Sumatera kira-kira 500 tahun yang lampau.

Kajian oleh Mustaffa Omar (2004) dan Nicholas (2000) mendapati orang Melayu-Proto merupakan kelompok masyarakat yang paling tersusun, kebanyakannya terletak di kawasan pertanian tetap atau selat dan juga di pinggir laut bagi sumber perikanan. Orang Melayu-Proto juga mencatatkan peratusan yang lebih tinggi berbanding kaum Negrito dan Senoi dalam bidang professional dan keusahawanan. Ini disebabkan oleh kedudukan perkampungan mereka yang lebih hampir dan terdedah kepada masyarakat lain di luar bandar menyebabkan mereka lebih banyak menerima pengaruh pembangunan dan kemajuan.

Rujukan:


Monday 4 May 2009

Posting 1

SUKU KAUM ORANG ASLI DI MALAYSIA

Khairul Hisyam, KAMARUDIN
Kemas kini: 4 Mei 2009 (Oxon)

Siapakah Orang Asli?

Siapakah yang dikatakan warga peribumi? Menurut Hasan Mat Nor (1998), umumnya istilah peribumi digunakan bagi merujuk kepada kumpulan-kumpulan etnik natif kepada sesuatu wilayah yang dituntut dan dipertahankan sepenuhnya oleh sesebuah negara di mana mereka ini telah datang di wilayah tersebut lama sebelum wilayah itu wujud sebagai sebuah negara yang berdaulat. Pernyataan ini walau bagaimanapun dilihat masih umum serta kabur untuk digunakan memandangkan semakan lanjut mendapati terdapat beberapa istilah lain yang sering digunakan bagi merujuk kepada masyarakat peribumi iaitu istilah peribumi, bumiputera dan Orang Asli. Bahagian awal artikel ini mengupas istilah-istilah berkenaan peribumi dengan tujuan meluaskan pengetahuan dan mengelak daripada kekeliruan akibat salah tafsiran, seterusnya mendapatkan definisi sesuai untuk diterimapakai di dalam artikel ini.

Kamus Dewan memberi takrif peribumi sebagai ‘penduduk asli’ dan juga bumiputera (DBP, 1964). Definisi yang hampir sama diberikan kamus Longman (edisi kedua, 1997) yang mentaktifkan peribumi sebagai aboriginal iaitu para penduduk asal (aborigines) yang telah wujud di sesuatu negeri sejak awal lagi. Dalam konteks ini, dapat difahami bahawa peribumi merupakan istilah umum yang digunakan bagi merujuk kepada semua kelompok manusia yang dianggap sebagai penghuni asal atau terawal di Malaysia.

Manakala, di bawah istilah peribumi ini barulah muncul dua istilah yang lebih spesifik digunakan bagi membezakan status kumpulan-kumpulan ‘para penduduk asal’ ini iaitu bumiputera dan Orang Asli. Hasan Mat Nor (1998) telah mengemukakan takrifan masyarakat peribumi menurut klasifikasi perundangan di mana terdapat dua kelompok warga peribumi di Malaysia iaitu bumiputera dan Orang Asli. Menurut beliau, kumpulan kaum yang diklasifikasikan sebagai bumiputera adalah meliputi Orang Melayu di Semenanjung; Orang Melayu, Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Melanau, Murut serta penduduk-penduduk natif lain di Sarawak; dan Orang Melayu, Kadazan, Dusun, Bajau dan penduduk-penduduk natif lain di Sabah. Manakala Orang Asli pula meliputi tiga kelompok etnik utama dikenal sebagai Negrito, Senoi dan Melayu-Proto (Hasan Mat Nor, 1998; Sunaidin, 1997). Pengkaji terkemudian seperti Nicholas (2000) mentakrifkan panggilan ‘Orang Asli’ bermaksud ‘tulen’ atau ‘masyarakat pertama’ yang mendiami Semenanjung Malaysia.

Perbezaan maksud istilah bumiputera dan Orang Asli dapat dilihat dengan merujuk kepada definisi di dalam perlembagaan negara dan juga Akta Orang Asli 1954 (Malaysia, 1974). Menurut (fasal) perlembagaan, istilah bumiputera membawa maksud yang lebih luas dan merangkumi keseluruhan Malaysia. Manakala, Akta 134 iaitu akta khusus bagi Orang Asli hanya boleh dikuatkuasakan bagi Semenanjung Malaysia, menetapkan 4 syarat utama bagi mendefinisikan Orang Asli iaitu:

a) Mana-mana orang yang bapanya adalah dari rumpun bangsa Orang Asli yang bercakap dalam bahasa Orang Asli yang lazimnya mengikut cara hidup Orang Asli dan adat serta kepercayaan. Ini termasuklah keturunan Orang Asli itu; mana-mana orang dari apa-apa kaum yang diambil sebagai anak angkat semasa masih kanak-kanak oleh Orang Asli dan adalah seseorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli.

b) Anak dari apa-apa persatuan antara seseorang perempuan Orang Asli dengan seseorang lelaki dari kaum lain dengan syarat bahawa anak itu lazim bercakap dalam bahasa Orang Asli yang adat dan kepercayaan Orang Asli yang masih lagi menjadi seseorang dari sesuatu masyarakat Orang Asli.

c) Mana-mana Orang Asli yang tidak lagi berpegang kepada kepercayaan Orang Asli kerana ia telah masuk sesuatu agama atau oleh kerana apa-apa sebab lain, ia masih mengikut cara hidup Orang Asli serta bercakap dalam bahasa Orang Asli tidak boleh disifatkan sebagai tidak lagi menjadi seseorang Orang Asli semata-mata oleh sebab ia mungkin mengamalkan agama itu.

d) Apa-apa soal sama ada seseorang adalah Orang Asli atau bukan Orang Asli hendaklah diputuskan oleh Menteri.

Daripada definisi yang dibincangkan di atas, didapati masyarakat Orang Asli merupakan warga peribumi (golongan penduduk asal) Malaysia, namun agak berbeza dengan kelompok penduduk yang diistilahkan sebagai masyarakat bumiputera. Ini kerana peruntukan di dalam akta telah jelas bahawa istilah Orang Asli hanya digunakan bagi menjelaskan status penduduk asal di Semenanjung Malaysia, manakala lain-lain kaum asal di Sabah dan Sarawak serta Orang Melayu di Semenanjung diistilahkan sebagai bumiputera. Oleh yang demikian, maksud dan penggunaan istilah ‘Orang Asli’ di dalam artikel ini hanya akan merujuk kepada 3 kumpulan etnik Orang Asli yang terdapat di Semenanjung Malaysia iaitu Negrito, Senoi dan Melayu-Proto.

Posting kali ini menyediakan huraian lanjut berkenaan profil suku kaum Orang Asli di Malaysia merangkumi perkara berkait dengan latar belakang dan taburan suku kaum mengikut negeri.

(bersambung di Posting 2)

Rujukan

DBP. 1964. Kamus Inggeris-Melayu Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasan Mat Nor. 1998. Warga Pribumi Menghadapi Cabaran Pembangunan. Kertas Kadangkala Bil. 8. JabatanAntropologi & Sosiologi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Malaysia. 1974. Undang-Undang Malaysia Akta 134. (Akta Orang Asli 1954 disemak 1974).
Nicholas, C. 2000. The Orang Asli And The Contest For Resources. Indigenous Politics, Development And Identity In Peninsular Malaysia. Copenhagen, Denmark: International Work Group For Indigenous Affairs.
Sunaidin San Ka Chang. 1997. Ke Arah Peningkatan Taraf Hidup Penduduk Orang Asli Simpang Arang Dalam Konteks Pembangunan Bandar Nusajaya. Universiti Teknologi Malaysia: Tesis Sarjana Muda.

Saturday 2 May 2009

Selamat Berkenalan!


Assalamualaikum, dan salam sejahtera.

Objektif utama penubuhan blog ini ialah menyalurkan maklumat berkaitan komuniti Orang Asli di Malaysia berdasarkan kajian yang telah saya jalankan.

Selain penerbitan artikel-artikel bercorak ilmiah, blog ini juga turut membuat posting bergambar terhadap pengalaman dan kisah di sepanjang saya berada di perkampungan Orang Asli.

Insya-Allah setelah bahan-bahan penulisan telah sedia, saya akan post kan ke blog ini. Semoga para pembaca akan beroleh manfaat daripada penulisan dan perkongsian ilmu ini.

Wassalam.

orangasli - a part of nature